Andi tumpang populariti lagu Tak Tun Tuang

Sharing is caring!

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Andi Bernadee, tidak kisah apabila dikatakan menumpang tuah dan populariti lagu Tak Tun Tuang untuk mencipta nama di arena muzik.

Kata anak muda dari Kota Kinabalu, Sabah ini, beliau hanya merakamkan video parodi lagu terbabit sekadar suka-suka, namun tidak menyangka ia mendapat sambutan hangat selepas dikongsi di Instagram.

“Melihat situasi terbabit, saya memutuskan untuk memuat naik video berkenaan di fanpage Facebook. Tak sampai 24 jam, jumlah tontonan mencecah 250,000,” ujarnya.

Di YouTube pula, video tempoh seminit itu sudah ditonton lebih 1.3 juta kali.

Sedangkan sebelum itu, Andi berhempas pulas memperkenalkan single sulung berjudul Tiada Lagi Maaf, namun gagal untuk menarik perhatian peminat. Karya ciptaannya bersama-sama Nasir Deraman itu dilancarkan Mac lalu.

Bahkan, kata Andi atau nama penuhnya Andi Azrul Andi Mapangile, 25, pernah juga terdetik di hatinya untuk mengundurkan diri daripada dunia seni.

“Kadang-kadang, ada juga rasa untuk berhenti menyanyi selepas banyak pengorbanan yang dilakukan, termasuk masa dan juga wang ringgit, namun tidak membuahkan hasil.

“Sedaya upaya saya cuba untuk bertahan. Bagaimanapun alhamdulillah, apa yang berlaku hari ini seakan-akan memberi semangat untuk saya supaya tidak mudah putus asa,” katanya kepada BH Online.

Mula dikesan bakatnya menerusi aplikasi Smule, seperti beberapa bakat baharu lain, iaitu Wany Hasrita dan Khai Bahar, namun nasib Andi tidak secerah dua teman seperjuangannya itu.

“Mungkin belum rezeki saya untuk menyerlah seperti mereka. Saya juga percaya, masing-masing mempunyai bahagian sendiri.

“Saya gembira dengan pencapaian mereka yang sama-sama muncul dalam bidang seni menerusi media sosial. Saya akui, rezeki dalam bidang ini agak lambat, tetapi saya yakin ia akan hadir juga satu hari nanti,” katanya ketika hadir ke Balai Berita, di sini, untuk mempromosikan singlenya itu.

Andi berkata, beliau tidak kisah andai ada yang mendakwa dirinya menumpang lagu Tak Tun Tuang bagi menaikkan nama.

“Kalau ia mampu memberi pendedahan kepada saya, mengapa tidak? Sekurang-kurangnya kalau orang ramai mendengar lagu itu, secara tidak langsung mereka akan cari juga single saya,” katanya yang kini sibuk siri jelajah institusi pengajian tinggi bersama-sama syarikat rakaman Warner Music Malaysia.

Sharing is caring!

Comments

comments

Abdul Talhah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *