Banjir Di Kedah, Lebih 300 Mangsa Di Arah Pindah

SUNGAI PETANI: Dijangka lebih daripada 300 mangsa yang membabitkan lebih 100 keluarga di daerah Kuala Muda ditempatkan ke pusat pemindahan sejak malam tadi akibat banjir.

Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda berkata, selain Sungai Petani, sebanyak 11 kawasan lain yang dinaiki air membabitkan mukim Kuala, Haji Kudong, Gurun, Bujang, Semeling, Merbok, Sungai Pasir, Kota dan Rantau Panjang, Pinang Tunggal, Sidam Kiri serta Simpor.

Susulan itu, katanya, sebanyak 11 pusat pemindahan dibuka sejak jam 9 malam tadi bagi menempatkan keseluruhan 336 mangsa banjir yang terjejas selepas kediaman masing-masing dinaiki air.

“Sehingga jam 8 pagi tadi, hampir 50 kampung dan taman dari 12 mukim dinaiki air menyebabkan kerja memindahkan mangsa ke pusat pemindahan dilakukan.

“Sebanyak 11 pusat pemindahan beroperasi iaitu Surau Kampung Sungai Bongkok, Dewan Kampung Tengah Padang Temusu, Dewan Steang Wam Kowang dan Surau Kampung Padang Tok Sora.

“Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua, Dewan Kampung Sungai Pasir, Dewan Kampung Lebai Ali, Dewan Taman Bedong Jaya, Surau Taman Malinja, Masjid Permatang Gedong dan Dewan Kampung Segantang Garam, ” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pusat pemindahan paling ramai menempatkan mangsa banjir ialah di Dewan Taman Bedong Jaya yang menempatkan 80 mangsa daripada 25 keluarga.

Katanya, maklumat awal punca banjir di daerah Kuala Muda berpunca daripada hujan lebat berterusan, laut pasang besar sehingga tiga meter dan sistem perparitan yang tidak berupaya menampung air.

“Kita akan terus memantau keadaan selain melakukan kerja menyelamat jika ada mangsa lain terjejas, ” katanya.

Sumber: beritaharian