Boon Siew Mempertontonkan Model Terbaru Iaitu Kapcai Honda EX5 Fi Terhad Sempenas Ulangtahun Ke-30-Harga mula dari Rm5,309

Jika kita boleh lihat model-model yang ikonik yang pernah kita gunakan dan mengingatkan kita kepada kenderaan yang masih mendapat sambutan hangat di Malaysia, motosikal kapcai Boon Siew Honda EX5 perlu tersenarai di dalamnya. Mula berada di atas jalan raya semenjak tahun 1987, ia masih lagi digunakan sehingga kini, walaupun dengan penampilan yang berbeza.

Kini, Boon Siew memperkenalkan pula edisi terhad Honda EX5 Fi sempena ulang tahunnya yang ke-30, bersekali untuk meraikan unit pengeluarannya yang kini telah mencapai angka 100 juta diperingkat global. Di dalam penawarannya yang terkini, Honda EX5 EFi dilengkapi enjin 109.1 cc dengan ciri suntikan minyak PGM-Fi penyejukan udara yang menjana sebanyak 8.35 hp pada 7,500 rpm dan 8.4 Nm tork pada 6,000 rpm.

Bagi edisi terhad ini, ia didatangkan di dalam dua pilihan warna dan rekaan – dalam warna merah atau perak, serta penggunaan rim sama ada dari jenis jejari atau cast. Ia turut hadir dengan perincian kemasan khas “30th Anniversary” untuk membezakannya daripada versi biasa.

Kapcai ini antara lain dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 4.3 liter, mempunyai berat 99 kg dan menggunakan sistem transmisi empat-kelajuan jenis klac basah centrifugal automatik. Honda EX5 Fi Limited Edition ini masing-masing dijual pada harga bermula RM5,309 dan RM5,563, termasuk GST.

Sumber:Paul Tan’s Automotive