Buaya betina ditangkap

BUAYA betina sepanjang 4.2 meter ditangkap anggota bomba selepas ditemui di ladang kelapa sawit di Takau, Bintulu, petang hari ini.

Sang bedal itu ditemui oleh pekerja ladang berkenaan pada 4.15 petang sebelum segera memaklumkan kepada bomba untuk tindakan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat jam 4.20 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, reptilia berkenaan dipercayai datang dari Sungai Takau yang terletak kira-kira 300 meter dari ladang berkenaan.

“Anggota bomba menggunakan teknik menutup mata buaya sebelum mengikat mulutnya menggunakan tali.

“Mata haiwan itu perlu ditutup terlebih dulu bagi mengelak daripada bertindak balas dan menyerang anggota bomba yang mahu menangkapnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas pekerja ladang yang terserempak dengan haiwan itu sebelum melaporkan kepada bomba berjaya menghalang haiwan itu dari menyerang.

Katanya, keseluruhan operasi mengambil masa satu jam dan buaya berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk tindakan selanjutnya.

Di Sarawak, penduduk di kawasan sungai dibenarkan untuk memburu buaya kerana reptilia itu sudah dikeluarkan dari senarai haiwan dilindungi kerana peningkatan konflik dengan manusia yang tinggi sehingga menyebabkan kematian.