Disangka Cendawan, Tengkorak orang rupanya…

REMAJA lelaki terkejut selepas menemui tengkorak dan serpihan tulang manusia ketika sedang melastik burung di kebun kelapa sawit Kampung Staponal, Batu Jong, Kuala Krai, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, tengkorak dan lapan tulang ditemui dalam keadaan berselerak dalam lingkungan 50 meter persegi di kebun sawit terbabit.

Turut ditemui di lokasi kejadian satu telefon bimbit dan topi.

Muhammad Aiman Hakimi Yusri, 15, berkata, sebelum kejadian dia bersama sepupunya Mohammad Nor Azlan Mohd Shakri, 15, pergi ke kebun kelapa sawit itu untuk melastik burung di kawasan terbabit.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian dia melastik objek menyerupai cendawan sebelum batu yang digunakan melantun seperti terkena benda keras.

“Saya pergi lebih dekat dan melihat objek itu adalah tengkorak. Pada mulanya saya ingatkan objek itu ialah tengkorak haiwan sebelum saya mengambil gambar dengan telefon dan menunjukkan kepada ibu saudara di rumah yang terletak kira-kira 100 meter daripada lokasi kejadian.

“Ibu saudara terkejut dan memaklumkan penemuan itu kepada ayah saya sebelum mereka membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, pihaknya menerima panggilan itu pada 12 tengah hari.

“Serpihan tulang termasuk tengkorak itu ditemui dua remaja yang sedang melastik burung di kawasan itu dan siasatan awal, kita dapati serpihan tulang itu berselerak dalam lingkungan 50 meter persegi.

“Tengkorak dan tulang itu dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

 

sumber :hmmetro

Abdul Talhah