FAP Dapat RM34 juta tapi tersingkir Liga Super

GEORGETOWN: Pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) ditempelak selepas tersingkir daripada saingan Liga Super musim depan, walaupun menerima peruntukan RM34.5 juta daripada kerajaan negeri.

Lau Keng Ee (DAP- Pengkalan Kota) berkata, FAP bukan hanya tersingkir tetapi turut menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini, walaupun menerima dana besar.

Beliau berkata, pasukan Pulau Pinang gagal mempamerkan aksi terbaik, walaupun membariskan empat pemain import serta dan jurulatih tempatan dan asing yang berpengalaman luas.

“Sekiranya keputusan begitu teruk dicapai, tidak perlulah kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberikan tajaan yang begitu besar untuk mengimport pemain dan jurulatih.

“Kerajaan negeri sebaliknya, perlu melatih pemain tempatan untuk menyarung jersi Pulau Pinang. Ini disebabkan anak kelahiran negeri ini lebih bersemangat untuk bermain bersama-sama negeri sendiri dan kos import pemain jurulatih itu dapat dijimatkan untuk perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sementara itu, RSN Rayer (DAP-Seri Delima) ketika mencelah, mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan akademi bola sepak bagi mencungkil bakat pemain kelahiran Pulau Pinang.

Beliau berkata, semua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris mempunyai akademi masing-masing untuk melatih pemain bagi mewakili kelab pada masa hadapan.

FAP tersingkir daripada aksi Liga Super musim depan, selepas hanya mampu mengumpul 12 mata daripada 22 pelawanan.

Berikutan keputusan itu, Presidennya yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Zairil Khir Johari mengumumkan peletakan jawatan pada 9 Oktober lalu.-BHOnline