Graduan Universii Oxford Peserta Clever Girl 2017

CLEVER Girl merupakan rancangan realiti terbitan Media Prima yang disiarkan menerusi rangkaian TV3. Rancangan ini bukan hanya memandang pada rupa paras seseorang itu, tetapi ianya juga menitikberatkan tahap pemikiran peserta.

Tahun ini, formatnya sama seperti tahun lalu iaitu seramai 14 orang gadis dari 14 buah negeri di Malaysia terpilih menyertainya. Program ini akan mula bersiaran pada 4 Ogos ini jam 9 malam setiap Jumaat.

Musim ini, semua pesertanya mempunyai latar belakang yang berbeza dan ada juga yang merupakan graduan Universiti Oxford dan juga pelakon.

Bagi pendatang baru, Hani Nazrina Hanizar,21, yang juga merupakan salah seorang pelakon drama Shhh… I Love You berkata kerjayanya sebagai seorang pelakon merupakan sebab utama dia menyertai Clever Girl tahun ini. Gadis yang berasal dari Perlis ini juga tidak mahu hanya digelar pelakon ‘kosong’ dan mahu memiliki pengetahuan am yang luas dan berilmu.

“Bagi saya lakonan dan Clever Girl adalah dua perkara berbeza dan atas sebab itu juga saya berminat untuk menyertainya”.

“Lakonan itu bakat tetapi program ini memuji kepintaran dan ilmu yang ada pada seseorang itu jadi saya ingin buktikan saya bukan sahaja boleh berlakon tetapi ada pengetahuan yang luas,” kata Hani kepada mStar online.

Hani yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menambah yang dia mahu memberi inspirasi kepada wanita muda yang lain agar sentiasa mempunyai pengetahuan yang luas tentang semua perkara.

Memandangkan Hani juga banyak terlibat dalam drama seperti Memori Pajeri Nenas, Megat Extand dan Detak Cinta Steteskop, dia sudah membuat banyak persediaan awal malah dia juga telah menolak beberapa tawaran berlakon kerana mahu memberikan fokus kepada Clever Girl.

Sementara itu, lain pula bagi graduan Universiti Oxford, Noor Syakirah Mohd Azam, 27, yang lebih selesa disapa Kiera. Latar belakang pelajarannya dari universiti terkenal itu juga membuat dia sedikit tertekan kerana ramai yang meletak harapan yang tinggi menggunung terhadapnya.

“Saya belajar Sains Kejuruteraan ketika di universiti dan soalan dalam program ini nanti bukannya hanya semata-mata berkaitan dengan apa yang saya pelajari dulu”

Bagaimanapun, peserta kelahiran negeri Pulau Pinang ini berkata jika dia tersingkir awal, dia berharap agar dapat memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana agar sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan.

Mereka berdua ditemui semalam ketika majlis memperkenalkan kesemua 14 orang peserta Clever Girl di Flora Terrace, Kuala Lumpur, semalam.

Alif Satar masih dikekalkan sebagai pengacara seperti musim lalu. Rata-rata peserta tahun ini berusia 21 sehingga 30 tahun.

Juara tahun ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi.

Tahun lalu, juara Clever Girl 2016 disandang Fatin Nuraisya Mohd Hanipha dari negeri Kelantan.

Jadi, siapakah yang bakal digelar Clever Girl 2017? Janagn lupa saksikan siaran pertama program ini bermula 4 Ogos, setiap Jumaat jam 9 malam di TV3.

Sumber: mynewshub