Isu Tiket Final: Presiden FAM Kritik Sikap Kedah FA

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kecewa dengan layanan berat sebelah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) terhadap penyokong setia pasukan Hijau Kuning.

Malahan baginda dimaklumkan bahawa terdapat isu salah guna kuasa oleh golongan tertentu dalam mendapatkan tiket final Piala Malaysia yang melibatkan Kedah bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Sabtu ini.

“Saya amat kecewa dengan sikap dan layanan yang telah diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah kepada penyokong-penyokong setia mereka sendiri.

“Penyokong yang beratur dan datang memberi sokongan setiap kali perlawanan di Stadium Darul Aman sebelum ini tidak dapat tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Sabtu ini.

“Tetapi individu yang tiada kena mengena dengan bola sepak sebaliknya yang dapat tiket melalui saluran tertentu,” titah baginda di Facebook rasmi pasukan JDT, Johor Souther Tigers.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan insiden kekecohan penyokong Kedah yang ‘naik angin’ apabila gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam.

Tunku Ismail turut menjelaskan bahawa di Johor, beliau mengarahkan pengurusan kelab bola sepak itu menguruskan penjualan dan pengagihan tiket final secara telus.

“Di Johor, Menteri Besar Johor memohon tiket sebanyak 1,000 keping pun saya menolak permohonan tersebut. Saya hanya memberi setakat 600 tiket untuk para jemputan khas.

“Saya juga dimaklumkan terdapat individu-individu dalam parti politik yang bergaduh dan sabotaj antara satu sama lain berkenaan isu penjualan tiket perlawanan akhir ini.

“Siasatan sedang dilakukan mengenai perkara ini. Sekiranya tidak berlaku Alhamdulillah, tetapi jika didapati ia benar, bersedialah berjumpa dengan saya.

“Kepada individu tersebut baik keluar dari negeri Johor. Di Johor tiada tempat orang korupsi seperti ini. Bola sepak adalah hak milik rakyat dan bukannya untuk dipolitikkan,” tambahnya.

Tunku Ismail juga berharap insiden-insiden seperti ini tidak akan timbul lagi dan semua persatuan serta kelab-kelab dapat belajar dari kesilapan yang berlaku.