Kopi Singa Indonesia Taja Skuad Barcelona !

KELAB sensasi terkenal Barcelona mengumumkan bahawa salah satu penajanya pada musim depan ialah produk minuman dari Indonesia, Kopi Singa.

Produk dari Surabaya itu malahan akan menjadi penaja untuk kelab bola sepak elit Sepanyol itu selama dua tahun hingga Jun 2019.

Pegawai rasmi Barca, Manel Arroyo berharap kerjasama ini dapat menambah populariti kelab itu di Indonesia.

Salah satu sebab produk itu dipilih adalah kerana negara itu mempunyai ramai penyokong Barca.

“Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Kopi Singa dalam keluarga FC Barcelona. Melalui kesepakatan penajaan ini, saya yakin kami mampu bekerjasama untuk meningkatkan populariti Barca, Kopi Singa dan bola sepak dalam kalangan rakyat Indonesia.

“Bagi kami, negara ini adalah pasaran strategik dan saya yakin kesepakatan ini akan membantu kami berhubung dengan lebih dari 26 juta peminat di Indonesia dan menjadikan Barca menjadi kelab paling popular di sana,” katanya.

Pemilik syarikat, Pujiono Sudargo dilaporkan berasa gembira dengan kerjasama ini.

Ini kerana, Kopi Singa menjadi syarikat perusahaan kopi pertama yang menaja Lionel Messi dan rakan-rakan.

“Kami yakin kerjasama antara FC Barcelona dan Kopi Singa akan menguntungkan kedua-dua pihak. Kami juga gembira menjadi syarikat kopi pertama yang menaja Barca,” kata Pujiono. – mStar Online