Menang nasib? Yeke?

PENGENDALI skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak menegaskan kejayaan anak buahnya melangkah ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia tahun depan bukan dibantu faktor nasib sebaliknya ia hasil kerja keras pasukan sepanjang mengharungi kempen kelayakan yang berlangsung di Paju, Korea Selatan.

Katanya, meskipun terpaksa mengharapkan ihsan pasukan lain untuk berada di kelompok lima pasukan naib juara terbaik, Hodak tetap percaya skuadnya memiliki kekuatan tersendiri dan mereka sememangnya layak berada bersama 15 pasukan handalan Asia yang lain.

“Semua itu mengarut jika ada yang mengatakan kami bernasib baik layak ke pusingan akhir. Bagi saya, orang yang berkata begitu menunjukkan mereka tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Incheon, Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangs Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

“Berdasarkan keputusan perlawanan, kami berjaya menang tiga daripada empat aksi dengan hanya tewas kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir itu.

“Walaupun kami tewas (kepada Korea Selatan), pemain saya mampu memberi saingan sengit sepanjang aksi dengan kami juga mempunyai beberapa peluang untuk meledak gol. Malah, mereka juga dilihat agak sukar untuk menembusi kubu kami, namun sedikit kelalaian oleh pertahanan menyebabkan kami tewas.

“Apapun, saya tetap yakin dengan kemampuan pemain dan mereka layak untuk beraksi di pusingan akhir nanti,” kata bekas jurulatih Kelantan dan Johor Darul Ta’zim itu.

Malaysia yang tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan F sememangnya mengharapkan keajaiban untuk layak ke saingan berprestij itu selepas sekadar menamatkan kedudukan di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata.

Biarpun berjaya menewaskan tiga pasukan lain iaitu Timor Leste (3-1), Brunei (1-0) dan Indonesia (4-1), namun perubahan format pertandingan menyaksikan hanya aksi menentang skuad muda Garuda saja diambil kira.

Skuad negara seharusnya berterima kasih kepada pasukan Arab Saudi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan dramatik 2-1 ke atas Yaman yang berlangsung di Stadium Prince Mohd Fahad, Arab Saudi awal pagi tadi sekali gus muncul sebagai juara Kumpulan D sambil menutup peluang jiran tetangganya itu untuk layak ke pusingan akhir.

Dalam pada itu, Hodak enggan terlalu memikirkan soal layak ke Piala Dunia Remaja B-20 pada 2019 nanti apabila menganggap kejayaan anak didiknya mara secara merit di pusingan akhir AFC sebagai permulaan kepada kebangkitan bola sepak negara.

Untuk rekod, empat pasukan terbaik di Indonesia tahun depan bakal mengisi empat slot dari benua ini untuk beraksi di Piala Dunia Remaja.

“Sudah tentu semua pasukan mahu beraksi di Piala Dunia. Tetapi kita kena realistik dengan kemampuan sendiri.

“Bagi saya, kejayaan layak di saingan AFC juga sudah cukup memuaskan dan apa yang mustahak sekarang ialah tentang persiapan kita untuk menghadapi kejohanan itu tahun depan,” katanya.