Messi ingin mengelak bertemu Sepanyol di Piala Dunia

BUENOS AIRES: Bintang Barcelona, Lionel Messi berkata perkara yang paling teruk boleh berlaku dalam undian untuk Argentina pada Piala Dunia tahun depan ialah bertemu Sepanyol pada pusingan pertama.

“Perkara paling teruk boleh berlaku kepada kami ialah diundi bertemu Sepanyol pada peringkat kumpulan,” kata Messi kepada TyC Sports hari ini dari Moscow ketika Argentina akan bertemu Russia pada perlawanan persahabatan Sabtu ini.

“Saya lebih suka mengelak mereka, mereka lawan yang sukar.”

Dalam temubual dengan televisyen Argentina, Messi menamakan Brazil, Jerman dan Perancis bersama Sepanyol sebagai pilihan untuk meraih mahkota Piala Dunia di Russia.

“Saya merasakan itu pada ketika ini, mereka adalah pasukan terkuat yang memberikan persembahan terbaik, mereka bermain dengan baik, dengan pemain individu terbaik.”

Messi juga berjaya mendapatkan kelayakan saat akhir buat Argentina ke pusingan akhir Piala Dunia dengan bintang Barcelona itu mencipta hatrik dalam kemenangan 3-1 di Ecuador.

“Saya sentiasa percaya kami akan ke sana, tetapi saya fikir kami sudah layak sebelum bertemu Ecuador,” kata Messi, sambil menyatakan dia mahu mengakhiri karier di tempat kelahirannya di Argentina, Rosario.

“Saya mahu bermain buat Newell’s Old Boys, di stadium tempat saya melihat begitu banyak perlawanan,” katanya. – AFP