Pemandu bas penyokong Kedah mati mengejut

SHAH ALAM: Seorang pemandu bas yang membawa penyokong pasukan Kedah meninggal dunia akibat serangan jantung dalam kenderaannya di pekarangan Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.

M Batumalai, 51, adalah antara pemandu bas yang membawa penyokong Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Shafien Mamat berkata, pemandu itu ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk pandu, oleh rakannya sebelum perlawanan akhir itu bermula.

“Rakannya kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada anggota polis yang bertugas di luar kawasan stadium kira-kira jam 7 malam tadi.

“Bas pemandu ini diparkir tidak jauh dari kawasan stadium dan rombongan ini tiba dari Kedah petang tadi.

“Pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) yang melakukan pemeriksaan mengesahkan pemandu bas ini sudah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat yang baru selesai dijalankan mendapati punca kematian adalah sakit jantung,” katanya malam tadi.

Shafien berkata, polis turut menghubungi keluarga pemandu itu di Pulau Pinang yang mengesahkannya menghidap sakit jantung.

“Bas berkenaan diambil alih pemandu kedua untuk membawa penyokong Kedah pulang ke negeri itu.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan akhir malam tadi Shafien berkata, tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Kawalan keselamatan yang ketat selain kerjasama penyokong kedua-dua pasukan menjadikan perlawanan itu tidak dicemari dengan kejadian di luar kawalan.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penyokong kedua-dua pasukan yang mengikut arahan diberikan,” katanya.

Sumber: BHOnline