Pencuri Bertudung merah jambu Bersiri

WANITA berpakaian baju kurung merah jambu yang diburu kerana mencuri di restoran turut mencuri di kedai emas dalam sebuah kompleks beli belah di Jalan Kolam Air,Alor Setar, di sini, semalam membabitkan kerugian lebih RM4,000.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, melalui siasatan wanita terbabit adalah individu sama dan pihaknya sudah mengenal pasti suspek.

Menurutnya, laporan kecurian kedua juga sudah dibuat oleh mangsa.

“Kes masih dalam siasatan dan setakat ini kita sudah mengenal pasti suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu, suspek dikatakan sempat memasukkan rantai tangan yang diambil dalam rak cermin ketika pekerja premis itu berpaling belakang dalam tempoh beberapa saat 3 petang semalam.

Wanita itu dikatakan berpura-pura mencuba rantai tangan emas itu sebelum melakukan kegiatan mencuri itu.

Difahamkan, pekerja premis itu hanya menyedari kehilangan rantai tangan emas itu selepas mengesyaki sesuatudan sebaik melihat rakaman CCTV barulah mereka perasan ia dicuri suspek.

Berikutan itu, pemilik premis kedai emas itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk melaporkan kejadian itu.

Suspek sama sebelum itu turut mencuri di sebuah kedai makan hari sama sebelah paginya.

Portal Berita Harian Metro semalam melaporkan peniaga kedai makan berhampiran Kompleks Peruda, Alor Setar kerugian RM6,000 selepas wang jualan yang disimpan di dalam beg pinggangnya dicuri pelanggan wanita.

Lelaki berusia 57 tahun itu hanya menyedari kehilangan wang tunai itu pada 10 pagi selepas tidak menemui begnya yang disimpan di dalam laci meja membungkus makanan dan tempat pembayaran.