Rumah Dirempuh Tanpa Sebab

DUNGUN – Tanpa diketahui hujung pangkalnya, hujan tiada, ribut pun tiada, seorang lelaki mengamuk dan merempuh sebuah kediaman dan kereta milik sebuah keluarga dengan lori di Rumah Murah Nibong di sini, malam tadi.

Tindakan lelaki tidak dikenali itu menceroboh dan merosakkan barangan dalam rumah berkenaan mengejutkan keluarga pemiliknya.

Menantu pemilik rumah, Khairul Anuar Ghazali, 31, bersama isteri, ibu mentua dan ahli keluarga lain menghadiri kenduri di Kemaman ketika kejadian jam 7.30 malam itu.

Beliau terkejut apabila dihubungi beberapa jiran yang memaklumkan kejadian berkenaan lalu bergegas pulang ke rumah.

“Jiran kami memberitahu, lelaki itu memandu lorinya dan merempuh pagar rumah tanpa sebab.

“Dia turut memecahkan cermin lori dan kereta yang diletak dalam kawasan rumah.

“Kami sekeluarga tidak kenal lelaki itu. Saya amat terkejut apabila mendapati lori saya dan kereta biras turut dirosakkan,” katanya.

Khairul membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dungun kira-kira jam 9 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata suspek ditangkap sejurus pihaknya menerima laporan.

Katanya, ujian air kencing mendapati suspek berusia 40 tahun itu positif ganja manakala motif kejadian masih disiasat.

“Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar kelapa datang dari Kuantan, Pahang untuk menghantar bekalan.

“Mungkin berang tidak menemui lokasi sepatutnya, suspek yang berada di bawah pengaruh dadah mengamuk di rumah mangsa.

“Kita akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.

Ahmad Zailani berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah. 

Sumber: BH ONLINE