Sarawak Tambah Baik Jalan Masuk Ke Mulu

Sharing is caring!

Kementerian Pelancongan Sarawak sedang meneliti kemungkinan meningkatkan akses ke Taman Negara Mulu, sebuah Tapak Warisan UNESCO.

Menteri Mudanya Datuk Lee Khim Shim berkata jalan masuk yang ada ialah dari Long Bedian – Long Terawan – Long Iman dan dua jam perjalanan menaiki bot ke ibu pejabat Taman Negara Mulu.

Beliau berkata aktiviti mempromosi taman itu sebagai produk pelancongan utama negeri sering diadakan.

“Antara strategi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mempromosi taman ini ialah melalui kempen taktikal bagi meletakkan Miri sebagai antara destinasi yang patut dilawati.

“Komponen kempen taktikal ini ialah meletakkan Miri dan Taman Negara Mulu sebagai destinasi berkembar,” katanya ketika menjawab soalan daripada Sebastian Ting Chiew Yew (BN-Piasau) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ting bertanya mengenai rancangan kerajaan dalam menyediakan kemudahan dan jalan masuk atau pelan tindakan yang lebih baik dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi mempromosi taman negara itu.

Lee berkata kempen tersebut dilancarkan pada Jun tahun lepas bersama MASWings dan agensi pelancongan di Miri (Tropical Adventure Tours Sdn Bhd) dan masih berlangsung.

Beliau berkata Mulu kini boleh dimasuki menerusi penerbangan MASWings dua kali sehari dari Miri, empat kali seminggu dari Kuching dan Kota Kinabalu.

“Bagi mereka yang sukakan cabaran, mereka boleh menaiki kenderaan pacuan empat roda selama dua jam dari Miri melalui Long Bedian ke Long Terawan, dan dari sana mereka perlu menaiki bot selama dua jam sebelum sampai ke Mulu,” katanya.

Beliau berkata aktiviti promosi dan strategi lain adalah menerusi penggambaran filem, klip video pendek, menyertai Pameran Pelancongan Brunei di Bandar Seri Begawan, pameran pelancongan domestik, perjalanan pengenalan ke Miri dan Mulu bersama ejen pelancongan dari Kuala Lumpur, Hong Kong, Shenzen dan Australia. – BERNAMA

Sharing is caring!

Comments

comments

Abdul Talhah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *