TPM Ahmad Zahid Tinjau Banjir Di Pulau Pinang

BUTTERWORTH – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meninjau keadaan dan dan kawasan yang dilanda banjir di Pulau Pinang yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah.

Beliau tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada 10.20 pagi dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Lim dilihat memeluk Ahmad Zahid, sejurus Timbalan Perdana Menteri turun dari helikopter.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Negara kemudian melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Guar Perahu di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang menempatkan seramai 365 mangsa banjir.

Beliau berkesempatan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di situ sambil bertanyakan sama ada kemudahan yang disediakan di pusat pemindahan mencukupi.

Ahmad Zahid kemudian melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Padang Menora di kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Sekolah Kebangsaan Bertam Indah di kawasan Parlimen Kepala Batas.

Hampir keseluruhan Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak pukul 2 petang Khamis yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, banjir di Pulau Pinang meragut tujuh nyawa. – BERNAMA