Ustaz Haslin Bollywood mohon perkenan mengadap Sultan Johor

“SEMALAM saya dah lega Timbalan Perdana Menteri umum tidak bercadang melarang saya berceramah di Malaysia, hari ini dikejutkan kenyataan Johor mengharamkan saya menyampaikan ceramah di negeri itu.”

Demikian luahan pendakwah bebas, Ustaz Haslin Baharim susulan Kerajaan Negeri Johor bertindak melarangnya dan Mufti Zimbabwe, Ismail Menk berceramah di Johor berikutan pandangan yang menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

Haslin yang popular dengan panggilan Ustaz Bollywood berkata, dia berterima kasih kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mahu memperbesarkan isu berkenaan, semalam.

Katanya, dia juga akur dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan kerajaan negeri yang melarangnya berceramah di Johor, hari ini.

“Mungkin maklumat yang diperoleh pihak Johor melalui beberapa pihak sahaja tanpa penjelasan daripada saya tetapi saya yakin dengan sifat keterbukaan dan berjiwa rakyat Tuanku, saya dibenarkan datang menghadap untuk bersemuka.

“Saya juga mahu bertemu untuk berbincang dengan Majlis Agama Islam Johor khususnya Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim dalam masa yang terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, melalui kaedah bersemuka dan berbincang lebih menjelaskan secara menyeluruh isu yang berbangkit serta mengetahui kandungan ceramah yang dipertikaikan.

“Setakat ini, saya tidak tahu ceramah yang mana menjadi isu perpecahan kaum di Singapura dan Johor. Saya harap saya diberi peluang untuk berjumpa dengan pihak yang berkenaan untuk beramah mesra.

“Saya mahu berjumpa pihak ini sebab saya melakukan perkara yang betul dan jika saya takut serta diam, macam menunjukkan saya salah.

“Mungkin ada perkara yang saya sebut dalam ceramah itu salah, saya sedia berjumpa pihak berkaitan atau mengadap Tuanku untuk meminta ampun,” katanya.

Menurut Haslin, berhubung isu sebelum ini dia sudah menghantar emel kepada kerajaan Singapura untuk mengadakan perbincangan namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Saya masih menunggu untuk mendapatkan penjelasan menyeluruh daripada Singapura yang mengatakan saya menggalakkan perpecahan kaum dan Johor juga saya akan ke sana (Johor) untuk membuat diplomasi.

“Saya yakin exco dan pihak kerajaan Johor bersifat terbuka untuk berbincang isu ini,” katanya.

Isnin lalu, kerajaan Singapura mengharamkan dua pendakwah berkenaan memasuki republik itu berikutan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial dan menyebarkan pandangan yang memecah belahkan rakyat.

Kementerian Dalam Negeri Singapura, dalam satu kenyataan, menyatakan Ismail Menk dalam ceramahnya tidak membenarkan orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan individu berlainan agama.

Haslin pula dituduh membawa pandangan yang menggalakkan perpecahan di antara orang Islam dan bukan Islam yang disifatkan sebagai menyimpang.